Khairy: Kerajaan komited sokong usahawan kreatif
Astro Awani
Oktober 9, 2013 13:49 MYT
Oktober 9, 2013 13:49 MYT
Kerajaan komited untuk menyokong usahawan dalam memulakan perniagaan mereka terutamanya mereka yang mempunyai idea kreatif dan pelan strategik, menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
"Kita mempunyai tanggungjawab untuk memupuk minat dan melatih anak-anak muda tetapi peranan ini bukan semata-mata kepada kerajaan itu tetapi juga merupakan tanggungjawab bersama dengan sektor swasta dan pihak berkepentingan utama yang lain," Khairy dipetik berkata dalam satu laporan Bernama.
Kementerian Belia dan Sukan dilihat sebagai satu komponen penting untuk kejayaan keseluruhan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk mempercepatkan rancangan transformasi kerajaan dan mengejar aspirasinya.
"Kami berada di barisan hadapan dalam usaha-usaha kerajaan untuk mewujudkan program-program dan dasar-dasar yang penting untuk membangunkan belia," kata Khairy, yang bakal menampilkan diri dalam sesi panel interaktif Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) keempat.
Pada GES 11 Okt ini, usahawan muda akan mendapat perhatian sebagai pencipta masa depan.
Antara acara kemuncak GES ialah 'YouthSpark Innovators Conclave', sesi panel interaktif dengan penonton yang dijangka seramai 250 dengan penampilan Khairy dan Pengarah Kanan Hal Ehwal Awam Microsoft Akhtar Badshah.
Panel ini akan membincangkan topik-topik untuk memupuk minat usahawan muda, dan apa yang perlu untuk menjadi inovatif dalam ekonomi yang kompetitif hari ini, demikian menurut Microsoft dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, usahawan muda dan inovatif Malaysia, DreamX dan John-Son Oei akan berkongsi pengalaman mereka dan projek yang membawa mereka bersama-sama - EPIC Homes.
DreamX adalah finalis dua kali Piala Imagine pada 2011 dan 2012, pertandingan utama dunia untuk pelajar teknologi, pemaju dan bakal usahawan untuk mewujudkan projek-projek inovatif dan akhirnya membawa idea-idea ke pasaran.