Khairy jumpa ibu, bapa remaja didakwa meninggal dunia selepas divaksin esok

Ridauddin Daud
Mac 3, 2022 16:29 MYT
Sebuah portal sebelum ini melaporkan ibu dan bapa remaja berusia 13 tahun itu menuntut penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung kematian anak mereka selepas beberapa minggu menerima vaksin. - Gambar hiasan
SERDANG: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan bertemu ibu dan bapa seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas mengambil vaksin COVID-19 pada Januari lepas.
Menurut Khairy, pertemuan itu akan dilakukan di pejabatnya di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, esok.
Namun, beliau tidak mendedahkan waktu pertemuan itu dan berkata, lebih baik pertemuan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dikeluarkan.
Jelasnya, itu adalah prosedur sepatutnya memandangkan kes tersebut melibatkan butiran kematian peribadi dan tidak boleh didedahkan kepada umum begitu sahaja.
Begitupun, katanya, sekiranya ibu bapa membenarkan ia dikongsi, butiran itu akan dikeluarkan secara tanpa pengenalan, selaras dengan peraturan KKM.
“Ada yang tanya kenapa laporan kematian mendiang begitu lewat sedangkan kematian berlaku pada Januari. Ini disebabkan kita mahu pastikan siasatannya adalah lengkap.
“Bukan setakat bedah siasat selepas kematian, tetapi juga penghantaran sampel darah, sampel tisu ke makmal dan yang paling akhir kita menunggu laporan daripada Jabatan Kimia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah kita terima hari ini.
“Sebab itu esok saya akan bertemu dengan ibu bapa mendiang,” katanya pada sidang media harian KKM di Hospital Serdang pada Khamis selepas menghadiri Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di hospital tersebut.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan ibu dan bapa remaja berusia 13 tahun itu menuntut penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung kematian anak mereka selepas beberapa minggu menerima vaksin.
Memetik laporan tersebut, ibu dan bapa remaja itu terkejut apabila punca kematian anaknya masih belum diketahui meskipun bedah siasat sudah dijalankan.
[TERKINI] Sidang media KKM mengenai perkembangan COVID-19
#Khairy Jamaluddin #vaksin #bedah siasat #KKM
;