Khairy jawab persoalan Anwar Ibrahim berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
Fareez Azman
Mac 16, 2021 15:33 MYT
Mac 16, 2021 15:33 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan bagi penyakit COVID-19.
MOSTI juga, kata Khairy, membiayai kos R&D kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF).
Meskipun Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin, namun kata Khairy, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi tujuan itu.
"Justeru, dalam rundingan pembelian vaksin COVID-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan," kata Khairy yang juga Menteri MOSTI dalam kenyataan media pada Selasa.
Penjelasan Khairy itu sekali gus menjawab persoalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini membangkitkan persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin.
Pendaftaran vaksinasi
Sementara itu, menjawab mengenai pendaftaran vaksinasi tidak lengkap melibatkan 1.4 juta orang pengguna pula, Khairy berkata, setiap pengguna akan dimaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk melengkapkan penilaian vaksinasi mereka.
"Perkara ini telah saya nyatakan dalam sidang media semalam yang mana saya telah turut memaklumkan bahawa SMS akan dihantar kepada pengguna-pengguna ini untuk meminta agar melengkapkan penilaian vaksinasi bagi membolehkan maklumat temu janji diberikan kepada mereka.
"Berkenaan pendaftaran berkali-kali pula, seperti mana yang saya telah nyatakan, MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika pendaftaran vaksinasi ketika kali pertama dibuat, justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang," kata beliau.
Kumpulan antivaksin
Dalam pada itu, mengulas mengenai kumpulan antivaksin pula, Khairy berkata, pihaknya bersama beberapa kementerian dan agensi akan menjalankan program kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.
Katanya, bagi program-program kesedaran melawan kumpulan antivaksin serta memberi keyakinan kepada orang ramai telah banyak kali dilakukan bukan sahaja oleh pihaknya bahkan turut melibatkan kerjasama pihak lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Siri-siri penerangan telah dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, media cetak mahupun media sosial,"jelasnya.
Malah program bantuan outreach juga, ujar Khairy, sedang berjalan di seluruh negara dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan vaksin.
Perolehan vaksin
Menjawab mengenai perolahan vaksin pula, Khairy menjelaskan, kerajaan masih terikat dengan 'non-disclosure agreement' yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin.
Bagaimanapun, beliau bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah membentangkan maklumat perincian perolehan vaksin itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia pada 5 Januari lalu.
"Butiran serta kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC.
"PAC menerusi kenyataan Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor dari parti DAP telah menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin COVID-19. Terdapat juga wakil PKR dalam PAC,"katanya lagi.
Vaksin Sputnik V
Khairy turut menegaskan bahawa vaksin Sputnik V dari Rusia terdapat dalam portfolio pembelian vaksin COVID-19 negara, tidak seperti andaian Ketua Pembangkang sebelum ini.
"Ketua Pembangkang juga turut membuat andaian bahawa kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia iaitu Sputnik V.
"Ini adalah tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat di dalam portfolio pembelian vaksin COVID-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran," jelas beliau.
Dalam kenyataan itu, Khairy turut menjelaskan, maklumat lanjut berkenaan PICK akan dibentangkan dalam sesi taklimat kepada Ahli Parlimen tidak lama lagi.
"Surat jemputan kepada Ahli Parlimen juga telahpun dihantar dan saya berharap Ketua Pembangkang serta Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain dapat hadir ketika sesi taklimat itu nanti," kata Khairy.
#Khairy Jamaluddin
#Anwar Ibrahim
#Noor Hisham Abdullah
#PKR
#DAP
#JAKIM
#KKM
#Bahagian Regulatori Farmasi Negara
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#vaksin
#Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
#Kementerian Kesihatan
#Parlimen
#menteri
#COVID-19
#Rusia
#Ipoh