Khairy jamin data MySejahtera terpelihara
Harits Asyraf Hasnan
Mac 31, 2022 18:38 MYT
Mac 31, 2022 18:38 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa segala data yang tersimpan di dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara dan hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh Kementerian Kesihatan sahaja.
Jelasnya, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan piawaian antarabangsa.
"Berkenaan isu data dan maklumat peribadi pengguna aplikasi MySejahtera, ingin saya tegaskan bahawa sebelum kerajaan melancarkan aplikasi ini pada 20 April 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan telah memeterai Perjanjian Ketakdedahan (Non-Disclosure Agreement - NDA) dengan KPISOFT pada 1 April 2020 dengan terma-terma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Antara terma utama yang terkandung dalam perjanjian NDA ini termasuklah berkenaan hak milik setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera, adalah hak milik penuh dan mutlak Kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung usul khas berkait isu MySejahtera di Dewan Negara hari ini.