Khairy Jamaluddin dilantik Naib Presiden WHA ke-75
Rahimah Abdullah
Mei 22, 2022 23:46 MYT
Mei 22, 2022 23:46 MYT
KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin secara rasmi dilantik sebagai salah seorang Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 yang berlangsung di Geneva, Switzerland pada Ahad.
Pada persidangan antarabangsa itu juga, Menteri Kesihatan Djibouti, Dr Ahmed Robleh Abdilleh diumumkan sebagai Presiden WHA ke-75.
Untuk rekod, pemilihan naib Ppresiden dibuat pada sidang tertutup Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-72 yang berlangsung dari 25 hingga 29 Oktober 2021 di Himeji, Jepun.
Kali terakhir Malaysia menyandang jawatan itu adalah pada tahun 2016 yang diwakili oleh Menteri Kesihatan pada waktu itu, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan pada tahun 2004 yang diwakili oleh Tan Sri Dr Chua Soi Lek.
WHA ke-75 yang bermula pada Ahad dan berakhir pada 28 Mei ini membawa tema Kesihatan Untuk Keamanan, Keamanan Untuk Kesihatan.
Ini merupakan persidangan bersemuka pertama WHA sejak bermulanya pandemik COVID-19.