Khairy Jamaluddin, Caprice gesa hentikan buli siber
Shamil Hizamie
April 28, 2015 16:47 MYT
April 28, 2015 16:47 MYT
Perihal mengenai seorang finalis program realiti Dewi Remaja 2014/2015 yang tidak mengetahui apakah itu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi perbualan hangat di laman sosial.
Finalis yang dimaksudkan iaitu Mawar Rashid menjadi topik trending di laman Twitter dengan lebih 15 ribu pengguna berbicara mengenainya sejak beberapa hari lalu.
Meskipun Mawar telah memohon maaf lantaran kurang peka mengenai perkembangan ekonomi negara namun itu tidak menghentikan para pengguna media sosial daripada mengutuknya.
Penyanyi Caprice menggunakan akaun Instagram untuk meluahkan pendapatnya mengenai isu berkenaan yang dianggap sebagai satu bentuk ‘cyberbully’.
Penyanyi berusia 27 tahun itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah menghakimi individu berdasarkan apa yang dilihat secara kasar.
Caprice yang popular dengan lagu ‘XDE HAL BRO’ giat mengadakan kempen menentang pembulian di alam siber di sekolah-sekolah sejak beberapa tahun.
Muat naik Caprice itu mendapat respon yang baik dari masyarakat Malaysia.
Ia turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Khairy yang memuji tindakan Caprice itu turut bersetuju bahawa menghentam individu di laman sosial juga dianggap sebagai satu bentuk buli.