Khairy ingatkan KWSP untuk hari pencen

Sinar Harian
Februari 20, 2023 13:48 MYT
"Kita lihat sebelum ini, masa kerajaan benarkan pengeluaran, berapa ramai yang keluarkan wang tersebut dan tak guna betul-betul." - Fail/BERNAMA
SHAH ALAM: “Ramai nak keluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi kita ingatkan simpan untuk hari pencen nanti,” kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, rakyat Malaysia perlu berpandangan jauh sebelum meminta pengeluaran KWSP buat kali ketiga.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan jika rakyat menyalahgunakan wang tersebut sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran seterusnya dibuat.
“Kita lihat sebelum ini, masa kerajaan benarkan pengeluaran, berapa ramai yang keluarkan wang tersebut dan tak guna betul-betul.
“Simpanan terbabit adalah bagi menjamin masa depan persaraan pencarum,” katanya ketika bertugas sebagai DJ dalam di sebuah saluran radio pada Isnin.
Beliau mengulas cadangan pemanggil yang meminta kerajaan hanya membenarkan individu pertama kali atau tidak pernah mengeluarkan simpanan tersebut.
Jelas Khairy, terdapat inisiatif boleh diusulkan oleh pihak kerajaan bagi membantu rakyat yang sedang kesusahan tanpa menjejaskan masa depan mereka.
“Kalau kita tak dapat bergantung kepada simpanan KWSP, maka ia terpulang kepada kerajaan. Banyak cara lain untuk bantu.
“Kerajaan perlu dengar rintihan rakyat, sekarang mereka tengah susah susulan inflasi, kenaikan barang dan sebagainya. Tanpa menjejaskan masa depan rakyat,” ujar beliau.
Pada Ahad, beliau memuat naik hantaran di InstaStory miliknya memaklumkan akan membincangkan mengenai topik hangat iaitu pengeluaran kali ketiga simpanan KWSP dan rata-rata netizen berpendapat pengeluaran itu perlu dilakukan. -- Sinar Harian
#Khairy Jamaluddin #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #pencen rakyat #pengeluaran kali ketiga KWSP
;