Khairy harap 'EM Watch' diperluas ke hospital lain
Bernama
Oktober 31, 2022 19:46 MYT
Oktober 31, 2022 19:46 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berharap khidmat pantauan dan teleperubatan pesakit selepas discaj 'EM Watch' yang kini diguna pakai di dua hospital utama dapat diperluaskan ke hospital lain membabitkan pelbagai jabatan.
Beliau berkata, penggunaan EM Watch pada masa ini hanya untuk Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh telah memanfaatkan seramai 926 pesakit sejak diperkenalkan bermula 8 Feb 2021 sehingga 31 Okt lepas.
"Perkhidmatan EM Watch ini merangkumi aspek yang serupa sebagaimana pesakit di Wad Pemerhatian Jabatan Kecemasan, melibatkan pemeriksaan susulan keadaan pesakit oleh doktor, e-priskripsi ubat, sijil cuti sakit (MC), surat rujukan ke hospital atau klinik, pemberitahuan keputusan ujian darah dan sebagainya.
"Bezanya ia dilakukan secara maya kerana pesakit boleh berjumpa dengan doktor secara dalam talian di rumah atau di mana sahaja dan ini memudahkan pesakit dari banyak segi selain boleh mengurangkan kesesakan dan juga mengosongkan (ruang) kubikel untuk pesakit yang lebih kritikal," kata beliau pada majlis pelancaran khidmat EM Watch di HKL hari ini.
Khairy berkata, EM Watch mengguna pakai cHEART; satu aplikasi kesihatan, dibangunkan oleh syarikat pemula teknologi tempatan Data8 dengan menggunakan teknologi rantaian blik untuk keselamatan data.
Projek itu adalah inisiatif di bawah Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menggalakkan projek inovasi tempatan dalam penggunaan teknologi baharu untuk menyelesaikan permasalahan awam.
Bagi mendapatkan khidmat EM Watch, Khairy berkata, pesakit perlu memenuhi kriteria ditentukan, selain harus memuat turun dan mendaftar di aplikasi cHEART dengan tarikh untuk telekonsultasi bersama doktor akan ditetapkan oleh pihak hospital.
Turut hadir pelancaran tersebut, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan merangkap Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab. - BERNAMA