Khairy gesa kumpulan antivaksin disiasat, didakwa segera
Hakim Rahman
Oktober 15, 2021 14:19 MYT
Oktober 15, 2021 14:19 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memohon pihak berkuasa agar menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.
Menerusi muat naik di akaun Twitternya hari ini, Khairy menegaskan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin.
Bagaimanapun katanya kumpulan berkenaan terus menyebarkan berita palsu yang mengancam kesihatan awam dan ia perkara yang menjengkelkan.
Beliau membalas ciapan pakar perubatan keluarga KKM, Dr Sakinah Sulong, yang mempersoalkan sama ada kumpulan antivaksin di negara ini kebal daripada tindakan pihak berkuasa berikutan masih bebas menyebarkan dakwaan dan berita palsu.
Dr Sakinah turut memuat naik tangkap layar dipercayai oleh kumpulan antivaksin menerusi aplikasi Telegram, yang antara lain mendakwa ada remaja yang disuntik vaksin COVID-19 mendapat kesan sampingan teruk dan meninggal dunia.
Sebelum ini Khairy turut diminta KKM membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin COVID-19.