Khairy dilantik Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO
Astro Awani
Mei 30, 2022 17:07 MYT
Mei 30, 2022 17:07 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tempoh 2022 sehingga 2023 bagi mewakili rantau Pasifik Barat.
Keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-151 (EB151) WHO yang berlangsung di Geneva, Switzerland kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan.
Presiden Lembaga Eksekutif WHO, Kerstin Vesna Petric, berkata pelantikan tersebut adalah berdasarkan prinsip giliran antara rantau geografi, di mana Malaysia pada ketika ini merupakan ahli Lembaga Eksekutif WHO dari 2021 sehingga 2024.
"Mengikuti prinsip giliran, jawatan Naib Presiden dicadangkan dari rantau berikut: rantau Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat.
"Mereka adalah: Germán Escobar (Timbalan Menteri Kesihatan Awam Colombia); Dr. Qasem Buhaibeh (Menteri Kesihatan Yamen); Bonifácio Maucoli dos Reis (Pemangku Menteri Kesihatan Timor Leste); dan Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan Malaysia)," katanya dalam rakaman video yang diedarkan kepada media.
Khairy mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan EB151 WHO yang berlangsung pada 22 hingga 30 Mei.
Beliau sebelum ini turut dilantik sebagai salah seorang daripada lima Naib Presiden WHA ke-75 yang turut berlangsung di Geneva.
Sementara itu, Khairy dalam hantaran di Twitter menyifatkan ia sebagai penghormatan kepada Malaysia.
"Selepas Malaysia diberi penghormatan sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA), hari ini Malaysia dipilih sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO.
"Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus membawa suara Malaysia ke pentas kesihatan dunia," katanya dalam hantaran tersebut.