Khairy buat lawatan mengejut, kali ini di Klinik Kesihatan Seksyen 19 Shah Alam
Fareez Azman
Februari 21, 2022 15:49 MYT
Februari 21, 2022 15:49 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali lagi mengadakan lawatan mengejut di fasiliti kesihatan, kali ini di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam pada pagi Isnin.
Ketibaan Khairy kira-kira jam 10.00 pagi itu ternyata mengejutkan kakitangan dan orang awam yang sedang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan tersebut.
Khairy dilihat meluangkan masa kira-kira satu jam untuk melawat sekitar klinik kesihatan itu termasuk kaunter pendaftaran pelanggan.
Beliau kemudiannya ke Klinik Pergigian sambil bertanya khabar bersama pengunjung dan pesakit di kawasan berkenaan.
Dalam lawatan itu, Khairy juga melihat kelengkapan di klinik kesihatan terbabit dan melihat kesan banjir baru-baru ini serta berbincang bersama kakitangan klinik mengenai penambahbaikan fasiliti tersebut.
Tindakan Khairy itu turut tular di laman sosial dan mendapat reaksi positif dalam kalangan netizen yang rata-ratanya memuji Menteri Kesihatan itu.
Sejak memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan, Khairy pernah melakukan lawatan mengejut di beberapa fasiliti kesihatan antaranya di Hospital Kajang pada tahun lalu.
#Khairy Jamaluddin
#Menteri Kesihatan
#lawatan mengejut
#Klinik kesihatan
#shah alam
#Seksyen 19
#fasiliti kesihatan
#COVID-19
#banjir