Khairy buat lawatan mengejut di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban
Astro Awani
Oktober 9, 2021 13:52 MYT
Oktober 9, 2021 13:52 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini meluangkan masa bagi mengadakan lawatan mengejut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Menurut perkongsian salah seorang petugas HTJ, Ahli Parlimen Rembau itu difahamkan meluangkan hampir satu jam di hospital berkenaan.
Beliau difahamkan melawat beberapa wad dan sempat berbual dengan para doktor, terutama doktor-doktor kontrak bagi mendengar aduan mereka.
Berdasarkan beberapa video yang dikongsikan oleh petugas hospital, Khairy dilihat bertanya tentang situasi menangani COVID-19 di hospital berkenaan.
Menurut akaun rasmi Khairy di Twitter, beliau turut mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Mawar, sebuah hospital swasta di Seremban.
Khairy sebelum ini turut pernah mengadakan lawatan mengejut di Hospital Kajang pada September lalu.
Lawatan tersebut menjadi topik perbualan netizen yang rata-rata memuji tindakannya untuk meninjau sendiri keadaan di hospital tanpa protokol dan sambutan besar-besaran.