Khairy bidas golongan 'boikot McD' di Twitter

Haider Yutim
Ogos 13, 2014 11:55 MYT
KHAIRY: Orang ramai perlu bijak dalam memilih produk yang hendak diboikot. - Gambar Fail
Tindakan memboikot 'barangan Israel' haruslah kena pada sasarannya yang sebenar, dan bukannya sehingga mendatangkan kesan pada rakyat Malaysia sendiri.
Demikian pandangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan di laman Twitternya sebentar tadi yang turut menyarankan supaya tumpuan bantahan dilaksanakan terhadap dasar Amerika Syarikat.
"Duta Palestin kata jangan boikot McD (McDonald's). Sukar membuktikan kaitan McD dgn Israel. Tumpu bantahan terhadap dasar US (Amerika Syarikat). Nak bash (hentam) dia juga?
"Bila orang kata boikot biar kena pada sasaran sebenar, jangan ada kesan pada orang kita, kena bash. Ni tak nak bash Duta Palestin?" soal beliau secara sinis terhadap golongan yang sering bertindak mengikut pandangan majoriti.

Duta Palestin kata jangan boikot McD. Sukar membuktikan kaitan McD dgn Israel. Tumpu bantahan terhadap dasar US. Nak bash dia juga?

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) August 13, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Bila orang kata boikot biar kena pada sasaran sebenar, jgn ada kesan pada orang kita, kena bash. Ni tak nak bash Duta Palestin?

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) August 13, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selain itu, Khairy juga menggesa orang ramai agar lebih bijak dalam memilih barangan atau produk yang hendak diboikot dan mensasarkan pada sasaran yang boleh mendatangkan kesan pada Israel.

: @FairusZana Be selective in the boycott. Go for targets that really matter.

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) August 13, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ketua Pemuda UMNO itu sebelum ini juga pernah menyifatkan tindakan pihak yang mahu memboikot produk buatan Israel, sebagai 'tidak rasional'.
Kata beliau, adalah sukar untuk menentukan sama ada sesuatu produk itu betul-betul dari Israel atau tidak.
Tambahnya, apa yang merisaukan adalah tindakan memboikot dari pihak tertentu itu akan menyebabkan rakyat Malaysia sendiri terkena kesannya.
Dalam laporan The Star pada Rabu pula, Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al Agha berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya mensasarkan pekerja di premis makanan seperti McDonald's dan Starbucks dalam usaha mereka untuk memboikot produk-produk Israel.
Beliau yang ditemubual akhbar tersebut berpendapat, tindakan menganggu serta mengancam keselamatan pekerja adalah tidak adil kerana mereka hanya mencari nafkah.
Ujarnya, meskipun tindakan memboikot berkemungkinan mampu memberi tekanan kepada Israel, tetapi dakwaan di media sosial mengenai syarikat yang dikaitkan dengan Israel sukar disahkan kesahihannya.
Pada 5 Ogos lalu, sekumpulan penduduk di Dungun, Terengganu melakukan demonstrasi memboikot Israel di hadapan restoran makanan segera McDonald’s di daerah itu.
Mereka dikatakan turut mengganggu premis restoran makanan segera itu serta menggoncang pintu masuknya, sekali gus mengancam keselamatan pekerja dan pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan.
Tindakan itu dikecam banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aqsa Syarif yang memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot barangan Israel supaya mengawal diri dan tidak melanggar batasan dalam menjayakan kempen tersebut.
#Amerika Syarikat #boikot #Israel #Khairy Jamaluddin #Mcdonald's
;