Khairy arah KBS percepat proses audit akaun PKBM
Bernama
Januari 20, 2014 08:44 MYT
Januari 20, 2014 08:44 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengarahkan unit dalaman kementeriannya mempercepat proses audit akaun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), yang membabitkan dana tahunan berjumlah RM1.5 juta.
Beliau berkata proses itu akan dilakukan sendiri Ketua Audit Dalam kementeriannya, Rokiah Sahat, memandangkan peruntukan yang diberi kepada badan induk berbasikal negara itu adalah duit rakyat.
"Beliau (Rokiah) akan melakukan proses audit sebelum menyerahkan laporan berkenaan kepada saya.
"Saya baru sahaja mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan PKBM minggu lepas, jadi saya meminta sedikit masa (sebelum proses audit dapat dijalankan)," katanya kepada pemberita selepas menyertai Kejohanan OCBC Cycle Malaysia 2014 di Dataran Merdeka, Ahad.
Khairy sebelum ini dilapor sebagai berkata pihaknya akan mengaudit akaun PKBM bagi memantau secara terperinci perbelanjaan dana tahunan yang diberi kepada persatuan itu untuk program acara lebuh raya.
Beliau berkata tindakan itu susulan aduan khusus berkaitan program berbasikal lebuh raya negara dan perbelanjaan PKBM adalah terlalu umum.
Dalam pada itu, Khairy berkata beliau akan bertemu semua atlet berbasikal lebuh raya negara dalam masa terdekat bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.
Katanya, beliau sudah bertemu Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abdul Wahab baru-baru ini yang bersetuju untuk mengaturkan perjumpaan dengan atlet terbabit.
"Apapun yang berlaku, kita mahu melihat keputusan (positif) dalam program lebuh raya (negara) kerana kita banyak menyalurkan peruntukan... PKBM pun ingin melihat program berkenaan turut berjaya.
"Jadi, kita meletakkan itu sebagai satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tahun ini dan menjelang Sukan SEA pada 2015 (di Singapura)," katanya.
PKBM sebelum ini dikecam hebat beberapa pihak berikutan prestasi hambar yang dipamer skuad berbasikal lebuh raya negara apabila sekadar meraih satu pingat perak dan satu gangsa di temasya Sukan SEA Myanmar Disember lepas.
Kejohanan OCBC Cycle Malaysia 2014 merupakan acara berbasikal tahunan terbesar anjuran Bank OCBC dan bertujuan menjadikan aktiviti berbasikal sebagai satu daripada aktiviti riadah.
Kejohanan itu berjaya menarik penyertaan hampir 6,000 orang dalam pelbagai kategori, yang bermula pada Jumaat dan berakhir hari ini.