Khairul Azwan: UMNO ada peranan sendiri, PERKASA juga ada peranan
Irwan Muhammad Zain
Disember 22, 2013 07:00 MYT
Disember 22, 2013 07:00 MYT
UMNO akan terus memainkan peranannya berjuang untuk orang Melayu dan Bumiputera dan menghormati peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut berjuang dengan agenda yang sama, kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.
Khairul Azwan berkata tidak timbul isu NGO Melayu akan menggantikan UMNO dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera kerana masing-masing mempunyai peranan sendiri.
Katanya, sebagai pemimpin nombor dua dalam Pemuda UMNO, beliau menghormati mana-mana NGO yang sentiasa menyokong perjuangan UMNO.
"UMNO telah terbukti sejak awal penubuhannya memang berjuang untuk orang Melayu dan Bumiputera dan kita (UMNO) kana terus dengan perjuangan tersebut.
"UMNO juga mempunyai peranan yang lebih besar sebagai parti tunjang dalam Barisan Nasional untuk berjuang bagi orang Melayu dan Bumiputera," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Khairul berkata demikian ketika mengulas kenyataan presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali yang menegaskan NGO yang diterajuinya tidak teragak-agak untuk mengambil alih peranan UMNO jika parti itu gagal dengan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.
Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, PERKASA boleh meneruskan perjuangan mereka untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera sepertimana asas penubuhannya.
Katanya, tidak perlu menunding jari menyalahkan pihak lain kerana masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam berjuang membela nasib orang Melayu dan Bumiputera.
"Tak perlu kita tunding jari cari salah orang lain kerana masing-masing ada peranan masing-masing dan ada perjuangan sendiri.
"Kita kalau cari salah orang sahaja susah kerana kita juga tak sempurna, satu jari tunding pada orang lain, empat jari ke arah kita sendiri.
"Kalau ikhlas nak membantu orang Melayu dan Bumiputera teruskan perjuangan, UMNO sudah lama ditubuhkan dan ada track record sendiri," katanya.
Semasa menyampaikan kata-kata aluan sebelum perasmian Persidangan Agung Tahunan keempat PERKASA, Ibrahim menegaskan pihaknya akan mengambil alih peranan UMNO jika parti tunjang BN itu gagal dengan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.