Khairul Azwan dijangka adakan sidang media petang ini
Astro Awani
Ogos 3, 2016 13:07 MYT
Ogos 3, 2016 13:07 MYT
Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun akan mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang hari ini.
Sidang media tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 4.30 petang di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), Kelana Centre Point.
26 Julai lalu, Khairul Azwan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi yang melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Gabenor Bank Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam laporan itu, Khairul Azwan menyatakan nama tiga individu tersebut sama ada secara berseorangan atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang sah.
"Saya mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai individu-individu tersebut telah memberi maklumat sulit dan dokumen kepada agensi-agensi di Amerika Syarikat termasuk pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” ujar Khairul Azwan.
Abdul Gani pada hari yang sama adalah yang terawal memberi reaksi, dengan menyifatkan dakwaan itu hanyalah muslihat untuk mencari publisiti.
"Dakwaan sembrono ini merupakan muslihat mencari publisiti tanpa asas. Percubaan membunuh perwatakan akan hanya mencetuskan tindak balas dan melemahkan kerajaan pada jangka panjang," katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa mengesahkan siasatan awal polis mendapati laporan yang dibuat oleh Khairul Azwan itu hanya berdasarkan andaian sahaja.
Polis juga telah memanggil Naib Ketua Pemuda UMNO itu Jumaat lalu untuk mendapat penjelasan serta bukti yang mendakwa individu terbabit terlibat dengan konspirasi yang dikatakan.
Ikuti sidang media Khairul Azwan secara langsung menerusi Facebook Live di laman Facebook rasmi Astro AWANI.