Khairul Aming belum pulih, dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut

Astro Awani
Disember 9, 2024 19:30 MYT
Khairul Aming, yang terkenal dengan video masakan kreatif serta produk Sambal Nyet yang popular, menerima banyak doa dan sokongan daripada peminat di media sosial sejak berita keadaannya tersebar. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming, dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak pulang daripada Misi Bantuan Orang Baik di Kelantan baru-baru ini.
Difahamkan, Khairul atau nama penuhnya Khairul Amin Kamaruzaman, sebelum ini telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta. Namun, keadaannya memerlukan rawatan lanjut di hospital selepas simptom yang dialaminya berlarutan.
Menurut sumber terdekat, Khairul mula mengalami simptom tersebut sejurus kembali dari misi kemanusiaan di mana beliau terlibat secara aktif membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan terjejas.
“Beliau kelihatan sangat letih selepas misi itu, tetapi tidak mengendahkan keadaannya kerana fokus membantu orang lain. Kini, doktor sedang memantau keadaannya dan menjalankan ujian lanjut,” kata sumber tersebut.
Khairul Aming, yang terkenal dengan video masakan kreatif serta produk Sambal Nyet yang popular, menerima banyak doa dan sokongan daripada peminat di media sosial sejak berita keadaannya tersebar.
“Semoga Khairul Aming cepat sembuh dan kembali aktif seperti biasa. Kami tahu dia seorang yang sangat berdedikasi dalam membantu masyarakat,” tulis seorang pengguna di ruangan komen Instagramnya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Khairul atau pasukannya. Para peminat terus mendoakan agar beliau segera sembuh dan pulih sepenuhnya.
#media sosial #usahawan #banjir #Sembuh
;