Khairuddin tarik balik permohonan Habeas Corpus

Hafiz Marzukhi
Oktober 13, 2015 10:27 MYT
Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menarik balik permohonan Habeas Corpus yang difailkan di Mahkamah Tinggi pagi ini.
Peguam Khairuddin, Haniff Khatri Abdulla memaklumkan keputusan itu dibuat kerana permohonan tersebut sudah tidak relevan dan hanya boleh dirujuk bagi tujuan akademik.
"Ianya dipohon bagi mencabar notis penahanan polis yang dikeluarkan pada 23 September," kata Haniff kepada Astro AWANI menerusi perkhidmatan Whatsapp.
Namun, tambah beliau, anak guamnya kini sudah tidak berada di balai polis Dang Wangi tetapi di Penjara Sungai Buloh.
Penarikan balik permohonan tersebut dibenarkan hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim.
Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.
Pada 23 September, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA 2012 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara.
Matthias pula ditahan 8 Oktober lalu selepas melawat anak guamnya, Khairuddin di balai polis Dang Wangi.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam menetapkan Oktober 23 bagi pihak pendakwa raya untuk mengumpul bukti bagi meneruskan pendakwaan terhadap Khairuddin dan Matthias di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012), SOSMA.
#1MDB #Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 #Haniff Khatri Abdulla #Khairuddin Abu Hassan #SOSMA
;