Khairuddin, Matthias Chang didakwa atas cubaan sabotaj kewangan negara
Hafiz Marzukhi
Oktober 12, 2015 12:50 MYT
Oktober 12, 2015 12:50 MYT
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin menetapkan Oktober 23 bagi pihak pendakwa raya untuk mengumpul bukti bagi meneruskan pendakwaan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012), SOSMA.
Kedua-dua mereka didakwa sengaja melakukan tindakan dianggap menjejaskan perbankan negara dan perkhidmatan kewangan.
Peguam bela Khairuddin dan Matthias, Hanif Khatri Abdullah memaklumkan keputusan mahkamah itu akan menentukan sama kes melibatkan anak guamnya tertakluk di bawah SOSMA atau tidak.
"Ini adalah penting untuk menjamin keadilan untuk anak guam saya yang kini ditahan," jelas Haniff.
Haniff memaklumkan pasukan pembela akan memfailkan semakan semula keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
"Kami berharap mahkamah mempunyai masa untuk membuat penilaian semula keputusan itu hari ini," jelasnya yang ditemui selepas prosiding berkenaan.
Datin Seri Umie Aida (kemeja putih) ditemani adiknya, Betty Rahmad (kanan) dan ahli keluarganya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Pada 23 September, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA 2012 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara.
Matthias ditahan 8 Oktober lalu selepas melawat anak guamnya, Khairuddin di balai polis Dang Wangi.
Beliau dipercayai masih meneruskan mogok lapar bagi membantah penahanannya.