Khairuddin dan Matthias tidak didakwa di bawah SOSMA - Peguam Negara

Hilal Azmi
Oktober 13, 2015 07:55 MYT
Tan Sri Mohamad Apandi Ali menjelaskan penahanan mereka adalah di bawah peruntukan Seksyen 124L Kanun Keseksaan. - Gambar Fail
Peguam Negara mengesahkan dakwaan terhadap Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathias Chang bukan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sebaliknya, Tan Sri Mohamad Apandi Ali menjelaskan kedua-duanya didakwa di bawah peruntukan Seksyen 124L Kanun Keseksaan.
"Saya ingin menjelaskan bahawa pendakwaan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang adalah di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj sistem kewangan negara dan perbankan Malaysia.
"Tindakan ini bagi menjawab persoalan yang dikemukakan menerusi laporan media semalam yang mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan SOSMA bagi menahan Khairuddin dan Matthias," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohamed Apandi turut menjelaskan bahawa SOSMA merupakan satu prosedur undang-undang yang memberi peruntukan istimewa untuk menyiasat dan mendakwa bagi kesalahan yang melibatkan keselamatan negara.
"Definisi 'kesalahan yang melibatkan keselamatan negara' telah menjelaskan bahawa SOSMA tidak terhad kepada keganasan dan pihak pengganas sahaja," katanya.
Tambah Apandi, Seksyen 124L merupakan undang-undang Perkara 6 mengikut Kanun Keseksaan dan merupakan satu daripada tujuh kesalahan yang terkandung dalam Perkara 6 mengikut SOSMA.
"Oleh itu, kesalahan yang melibatkan keselamatan negara turut diaplikasikan kepada undang-undang SOSMA," tambahnya lagi.
Jelas Mohamed Apandi lagi, Seksyen 124L Kanun Keseksaan juga memperuntukkan 'sesiapa yang terlibat untuk melakukan sabotaj atau apa-apa persediaan berkaitan dengannya akan dikenakan hukuman penjara maksimum selama 15 tahun'.
Semalam, Khairuddin dan Mathhias telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut Seksyen 124L dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana cubaan mensabotaj sistem perbankan dan sistem kewangan negara.
#Dang Wangi #IPD #Khairuddin Abu Hassan #Khalid Abu Bakar #Matthias Chang #Mohd Akmal Afiq