Khairil Aslan mula ekspedisi kayuhan solo jelajah Semenanjung Malaysia
Bernama
April 14, 2017 07:00 MYT
April 14, 2017 07:00 MYT
Pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid akan memulakan ekspedisi kayuhan solo menjelajah Semenanjung Malaysia selama 30 hari bermula 16 April (Ahad).
Khairil Aslan, 42, berkata ekspedisi itu sejauh kira-kira 2,700 kilometer dan akan bermula di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi Selangor dan berakhir di masjid berkenaan pada 12 Mei depan.
"Saya tidak menginap di mana-mana hotel tetapi akan bermalam di masjid di setiap negeri untuk berehat sebelum meneruskan ekspedisi ke destinasi berikutnya.
"Ahad ini, saya akan memulakan kayuhan berbasikal dari masjid ini hingga ke Kuala Selangor," katanya kepada Bernama, di Wisma Bernama pada Jumaat.
Beliau memilih masjid sebagai tempat persinggahannya sebagai usaha untuk mendekati masyarakat setempat khususnya golongan belia di samping berkongsi pengalamannya sebagai pendaki dan kayuhan solo.
Khairil Aslan yang berasal dari Batu Kurau, Perak, pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari bermula 26 Nov 2015, dan turut mencipta rekod antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi di ketiga-tiga puncak berkenaan pada musim sejuk.
Katanya kayuhan bertemakan 'Dari masjid ku menjelajah 2017' adalah sebagai latihan beliau untuk menyertai Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki yang akan berlangsung selama 67 hari bermula Jun ini.
"Untuk ekspedisi kayuhan ini, saya turut berkolaborasi dengan masjid berkenaan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk mendapat tajaan daripada syarikat pembekal basikal dan peralatan," katanya.
Menurut bapa kepada empat anak berumur antara 8 tahun hingga 18 tahun itu, keluarganya sentiasa memberi sokongan sejak beliau aktif sepenuh masa dalam aktiviti itu, tiga tahun lepas.
"Kesemua anak saya didedahkan dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan berbasikal sejak mereka di sekolah rendah. Alhamdulillah, mereka mempunyai kecenderungan dalam bidang itu," katanya.
-- BERNAMA