Khadijah Ibrahim terima Anugerah Inspirasi Sepanjang Zaman
Bernama
September 29, 2023 18:51 MYT
September 29, 2023 18:51 MYT
PETALING JAYA: Penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim antara penerima Anugerah Inspirasi Sepanjang Zaman pada acara "The Celebration: Life Begin at 50' sempena Festival Warga Emas 2023 yang berlangsung di pusat beli-belah di sini hari ini.
Khadijah, 64, atau lebih terkenal sebagai Khaty berkata beliau gembira dan bersyukur atas penghargaan itu, serta meminta anak-anak agar terus berbakti kepada orang tua mereka yang sememangnya dituntut dalam Islam.
"Saya seorang yang sangat menghargai orang tua, kalau saya tahu ada warga emas yang dianiaya atau dikasari, ia boleh buat saya marah walaupun saya ini jenis sukar untuk marah.
"Saya juga sedih apabila melihat warga emas dihantar ke rumah orang-orang tua dan diabaikan anak-anak sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka dan sikap ini harus dihentikan," katanya kepada Bernama selepas acara tersebut.
Anugerah itu bagi mengiktiraf individu warga emas yang cemerlang dan banyak memberi sumbangan dalam bidang masing-masing.
Selain Khadijah, turut mendapat pengiktirafan Datuk Mohd Nor Khalid (Datuk Lat), Datuk Ras Adiba Radzi, Ivy Josiah dan Datin Paduka Sister Enda.
Ras Adiba, 55, pula berharap Malaysia mempunyai sistem sokongan yang kukuh buat warga emas sepertimana di luar negara sebagai persediaan mencapai status 'negara tua' pada 2030.
Katanya semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat korporat perlu menggembleng tenaga menyediakan kemudahan serta persekitaran kondusif buat warga emas.
Festival anjuran Amazing Seniors, sebuah kelab sosial warga emas, yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, diadakan sempena Hari Warga Emas Antarabangsa yang disambut setiap 1 Okt, dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya ceramah, pemeriksaan dan jualan produk kesihatan.
-- BERNAMA
#Khadijah Ibrahim
#Anugerah Inspirasi Sepanjang Zaman
#The Celebration Life Begin at 50
#Festival Warga Emas 2023