KFRG tukar taktik, fokus di perairan jarak sempadan pendek - Shahidan

Harits Asyraf Hasnan
Mei 23, 2016 03:48 MYT
SHAHIDAN: Pihak ESSCOM sendiri sentiasa mengekori kapal yang melalui kawasan yang berisiko tinggi. - Gambar fail
Kumpulan Culik untuk Tebusan (KFRG) kini lebih cenderung melakukan aktiviti penculikan di kawasan perairan yang mempunyai jarak sempadan yang pendek.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, fokus KFRG di kawasan tersebut kerana ia memudahkan kumpulan itu melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia dengan memasuki kawasan perairan Filipina.
Bagaimanapun, ujar Shahidan, pihak berkuasa Malaysia di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang sedar dengan taktik tersebut sentiasa mengekori rapat kapal-kapal yang melalui kawasan berisiko tinggi.
"Pihak ESSCOM sendiri sentiasa mengekori kapal yang melalui kawasan yang berisiko tinggi. KFRG tidak berani masuk tetapi mencari (soft target) dan juga (soft area) iaitu kawasan di sempadan.
"Makna kata, kalau bot melencong ke sebelah kanan dia akan masuk ke sana. Kawasan (soft area) adalah kawasan yang membolehkan mereka (KFRG) bergerak ke negara jiran dengan mudah. Kita akan buat pengekoran dari semasa ke semasa," katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan jawab lisan yang dikemukakan Lim Guan Eng (DAP-Bagan).
Justeru katanya, Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menggalakkan orang awam yang berada di kawasan perairan Pantai Timur Sabah menyertai program kesukarelawan sekaligus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.
#ESSCom #KFRG lebih cenderung melakukan aktiviti penculikan di kawasan perairan yang mempunyai jarak sempadan yang pendek #Shahidan Kassim