KFC tak pernah ada dalam senarai boikot - BDS Malaysia
Umavathi Ramayah
Mei 26, 2024 23:10 MYT
Mei 26, 2024 23:10 MYT
KUALA LUMPUR: Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS) memaklumkan restoran makanan segera, KFC tidak pernah masuk dalam kempen boikot kumpulan pro-Palestin itu.
Pengerusi BDS Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail menegaskan mereka tidak pernah sesekali membuat kempen terhadap rakyat Malaysia untuk memboikot KFC dari dahulu sehingga sekarang.
"McDonald's (McD) pun dulu tidak masuk senarai, tetapi terpaksa dimasukkan dalam senarai apabila cawangan di Israel memberi makan percuma kepada tentera Zionis Israel.
"Seluruh dunia marah terhadap McD sebab tindakan itu, yang tidak disekat oleh McD Corporation.
"Alhamdulillah KFC tidak pernah melakukan tindakan sama dan sebab itu tidak perlu dimasukkan dalam senarai boikot," katanya dalam satu hantaran di Facebook BDS Malaysia di sini, pada Ahad.
Mohd Nazari berpendapat, pelanggan sudah tidak ke restoran makanan segera itu berkemungkinan harganya yang semakin meningkat.
"Saya dapati ada pelanggan yang merungut dan tidak mahu beli lagi kerana mahal dan bukan kerana isu Palestin pun," jelasnya.
Gerakan BDS dimulakan pada tahun 2005 atas kesedaran bahawa kerajaan-kerajaan di dunia, terutama sekali kerajaan Amerika dan Eropah tidak boleh diharapkan untuk membantu dalam perjuangan membebaskan warga Palestin dari cengkaman zalim Zionis ke atas mereka.
Oleh itu gerakan BDS membuat keputusan untuk mengembeling sokongan dari rakyat biasa dari seluruh dunia yang mempunyai hati nurani serta membenci kezaliman yang dilakukan terhadap warga Palestin.
Gerakan itu mendapat inspirasi dari kejayaan usaha pemboikotan oleh masyarakat antarabangsa terhadap negara Afrika Selatan kerana amalan apartheidnya terhadap warga berkulit hitam.