Keyakinan rakyat terhadap Maktab Tentera Diraja cukup tinggi - Timbalan Menteri
Hasimi Muhamad
Februari 24, 2025 13:15 MYT
Februari 24, 2025 13:15 MYT
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata perkara tersebut dicerminkan berdasarkan kadar permohonan kemasukan yang menunjukkan peningkatan pada tahun 2024 dan 2025. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu bahawa keyakinan rakyat Malaysia terhadap Maktab Tentera Diraja (MTD) disifatkan berada pada tahap yang cukup tinggi, di sebalik beberapa isu buli yang terpalit dengan institusi tersebut.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata perkara tersebut dicerminkan berdasarkan kadar permohonan kemasukan yang menunjukkan peningkatan pada tahun 2024 dan 2025.
"Kalau kita lihat pada tahun 2024 permohonan daripada ibu-bapa untuk mendapatkan ruang bagi anak-anak mereka di MTD adalah seramai 2,200, sedangkan pengambilan hanya dibuka kepada 260 orang sahaja.
"Kita lihat pada tahun 2025, walaupun pelbagai isu dibangkitkan, tetapi kita tahu bahawa MTD memiliki disiplin yang tersendiri. Pada tahun ini, kalau kita lihat permohonan meningkat kepada 3,990," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang mahu tahu sama ada terdapat syarat perwatakan pemohon diambil kira dalam pemilihan untuk memasuki MTD bagi mengelakkan kebarangkalian kejadian buli.
Menjawab lanjut, Adly (PH-Alor Gajah) berkata proses kemasukan dan pemilihan para pelajar ke MTD mengambil kira kewibawaan para pemohon dari semua aspek termasuk pendidikan dan latar belakang ko-kurikulum.
Jelas beliau, teras asas MTD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah untuk memastikan para pelajar mempunyai tahap disiplin yang tinggi.
Ujarnya, ia bagi melahirkan pelapis kepada masa depan sistem ketenteraan, penjawat awam serta pemimpin di peringkat negara.
Menjawab soalan asal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai langkah untuk menghentikan kejadian buli pula, Adly berkata Kementerian Pertahanan dan ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan disiplin termasuk perbuatan buli.
Menurutnya, siasatan akan dilaksanakan dan tindakan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Beliau menambah beberapa penambahbaikan telah dilakukan , antaranya larangan terhadap aktiviti perlanggaran disiplin dalam kalangan Putera MTD telah dikuatkuasakan dalam Perintah Tetap Putera (PTP).
Selain itu, mulai tahun 2020, pengasingan blok penginapan Putera Tingkatan 5 dan Tingkatan 4 telah dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan risiko perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
"Ketiga, jurulatih bertugas melaksanakan rondaan berkala dan tidak berkala di Blok Penginapan Putera selepas jam 11.30 malam setiap hari. Kekerapan rondaan adalah dua jam sekali.
"Keempat, penambahan kuantiti kamera litar tertutup (CCTV) daripada 12 kepada 64 unit di kawasan blok penginapan bagi mengawasi dan mengesan aktiviti yang mencurigakan.
"Kelima, melaksanakan sesi kaunseling bagi Putera yang terlibat dalam kes perlanggaran disiplin," katanya.
Dalam masa sama, Adly berkata sesi pertemuan antara Putera dan Pentadbir serta jurulatih turut dijalankan bagi mendapat maklumat awal salah laku dalam kalangan Putera.
Sesi tersebut, ujarnya dilaksanakan bagi mengatasi isu keengganan Putera membuat laporan salah laku.
#Angkatan Tentera Malaysia
#Kejadian buli pelatih tentera
#Maktad Tentera Diraja
#Dewan Rakyat
#terkini