Kewujudan rumah sewa Ketua Jururawat Siti Kharina tidak dimaklumkan awal - Polis

Afiezy Azaman
Mei 17, 2019 11:20 MYT
Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas. - Gambar fail
Polis tidak dimaklumkan lebih awal mengenai rumah sewa Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin di sebuah unit Kondominium Third Avenue di Cyberjaya.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin perkara itu hanya diketahui selepas pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah sewa berkenaan mengenai penemuan mayat.
“Tiada, kita (polis) pun tidak mendapat maklumat itu,” katanya ringkas kepada Astro AWANI setelah ditanya sekiranya pihak polis ada menerima maklumat lebih awal mengenai rumah sewa yang diduduki Siti Kharina sejak kehilangan mangsa pada 8 Mei lalu.
BACA: Siti Kharina dikelar, darah mengalir sampai ke pintu
BACA: Siti Kharina mesra dan pemurah - Jiran
BACA: Kes bunuh Siti Kharina: Suspek ketiga ditahan polis
Mengulas lanjut, Noor Azam berkata pihaknya hanya mendapat maklumat awal bahawa mangsa tinggal di kuarters jururawat bersama rakannya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan masih terlalu awal untuk pihaknya membuat sebarang kenyataan mengenai motif pembunuhan.
Pada Khamis, polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita masing-masing merupakan warga Nigeria dan Pakistan.
“Kita percaya mereka ini terlibat, tetapi kita akan lakukan siasatan secara terperinci siapa yang lakukan pembunuhan. Sekarang ini masih awal, jika siasatan selesai dan kena tuduh di mahkamah nanti itulah dapatannya,” jelas beliau.
Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas.
Bagaimanapun, pada Khamis polis mengesahkan Siti Kharina ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, Noor Azam berkata mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu bilik itu.
#Cyberjaya #Datuk Noor Azam Jamaludin #Hospital Serdang #Ketua Jururawat #Ketua Polis Selangor #Kondominium Third Avenue #Nigeria #Pakistan #polis #rumah sewa #Siti Kharina #Siti Kharina Mohd Kamarudin
;