Kewarganegaraan: RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 lulus, ini yang perlu diketahui

Astro Awani
Oktober 17, 2024 19:28 MYT
Antara ahli Parlimen yang hadir melakukan undian belah bahagian bagi Pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama
DEWAN RAKYAT hari ini melakar sejarah selepas berjaya meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dengan sokongan lebih dua pertiga.
Keputusan ini memberi kelegaan kepada ramai pihak termasuk anak yang dilahirkan di luar negara, yang sebelum ini hanya layak mendapat kewarganegaraan hanya jika bapanya seorang warganegara.
RUU yang dibentang untuk bacaan kali pertama pada Mac lalu, sepatutnya dibahas dan diputuskan pada persidangan Julai tetapi ditangguhkan ke sesi kali ini.
BACA: Warganegara: RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 lulus sokongan dua pertiga
Berikut pindaan dalam RUU berkenaan:
1. Memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.
2. Seseorang kanak-kanak yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu bermastautin secara tetap di Persekutuan tidak lagi layak untuk mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.
3. Kanak-kanak lahir di luar Persekutuan hendaklah didaftarkan, dalam masa satu tahun selepas kelahiran atau dalam apa-apa tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan atau konsulat Persekutuan .
4. Mengenakan syarat tambahan untuk mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu kepada mana-mana wanita bersuami yang membuat permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran.
5. Pinda had umur untuk memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran daripada 21 kepada 18 tahun, selaras usia mengundi di negara ini dan takrif kanak-kanak seperti diperuntukkan Akta Umur Dewasa 1971.
6. Mengkehendaki individu 18 tahun ke bawah yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran untuk mengangkat sumpah.
7. Kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan warga asing bersuami yang memperoleh kerakyatan, jika perkahwinan dibubarkan dalam tempoh dua tahun sejak menerima kewarganegaraan.
8. Kanak-kanak baru lahir yang dijumpai dan ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya ialah seorang warganegara.
9. Kerajaan Persekutuan untuk menahan pendaftaran akuan pelepasan kewarganegaraan mana-mana orang jika pelepasan itu memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian dalam Persekutuan, ketenteraman awam atau kepentingan awam.
#RUU Pindaan Perlembagaan 2024 #Kewarganegaraan Malaysia #Dewan Rakyat
;