Kewarganegaraan anak lahir luar negara: Cadangan pindaan akan dibentang pada Majlis Raja-Raja
Hasimi Muhamad
Jun 14, 2023 13:40 MYT
Jun 14, 2023 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membentangkan cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraaan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 12 Julai depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika ia mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, cadangan pindaan tersebut kemudian akan dibentangkan ke Parlimen pada persidangan hujung tahun ini.
Jelas beliau, ketika ini sesi libat urus berhubung pindaan tersebut sudah berada di peringkat akhir.
"Saya ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia bahawa pertama, tentang kewarganegaraan. Kita sekarang sedang mempersiapkan cadangan Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara warganegara dan kita lakukan ini secara komprehensif.
"Bukan sahaja soal anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara dengan pasangannya bukan warganegara, tetapi juga adalah satu pindaan yang komprehensif mengandungi sekurang-kurangnya lapan cadangan pindaan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020.
Sebelum itu ketika sesi perbahasan, beberapa ahli Parlimen membangkitkan mengenai hal kewarganegaraan seperti kanak-kanak tanpa warganegara, isu Orang Asli yang tidak memiliki kad pengenalan, sijil kelahiran lewat, anak yang lahir di luar negara dengan ibunya adalah warganegara Malaysia, serta peraturan ibu tumpang.
Ogos tahun lalu, Menteri Undang-Undang ketika itu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara melalui ibu warganegara Malaysia adalah di luar kuasa kerajaan.
Ini kerana pindaan Perlembagaan memerlukan penglibatan Majlis Raja-Raja, selain kerajaan pada masa itu hanya akan memutuskan tindakan seterusnya sebaik keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat mengenai perkara itu.
Bagaimanapun pada 17 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Saifuddin mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan Kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan berhubung isu tersebut.