Kevin Morais, Shaharuddin Ibrahim terima Anugerah Khas Integriti 2015

Dania Zainuddin
November 5, 2015 19:42 MYT
Pihak IIM turut mengutuk tragedi pembunuhan Kevin dan Shaharuddin yang disifatkan sebagai individu yang berintegriti tinggi dan amanah dalam melaksanakan tugas. - Gambar Fail
Bekas Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Anthony Kevin Morais dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim dinamakan sebagai penerima Anugerah Khas Integriti 2015 oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).
Anugerah khas itu diberikan kerana kedua individu tersebut disifatkan memiliki integriti tinggi dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab.
Penganugerahan itu diumumkan pada program Bicara Integriti Nasional 2015 dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Sebelum penyampaian anugerah itu, dua video khas ditayangkan menunjukkan gambar-gambar mendiang sebelum ini sambil dibacakan jasa dan integriti dalam pekerjaan mereka dan suasana auditorium turut berubah.
Pihak IIM turut mengutuk tragedi pembunuhan Kevin dan Shaharuddin yang disifatkan sebagai individu yang berintegriti dan amanah dalam melaksanakan tugas.
Dr. Richard Morais yang hadir untuk menerima anugerah khas bagi pihak Kevin Morais ditemui selepas program bicara dan berkata abangnya seorang yang komited dalam melaksanakan tugas semasa hayatnya.
"Saya berbangga menerima anugerah ini bagi pihaknya dan saya harap dia (Kevin) dapat dijadikan 'role model' oleh orang ramai," kata Richard.
Sementara itu Rahimah Ibrahim, isteri kepada Shaharuddin, bersyukur dengan pengiktirafan yang dilihat dapat menyuntik semangat kepada anak-anak serta penjawat awam lain dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.
"Dia seorang yang tegas, berprinsip, sentiasa berani mengakkan kebenaran dan mengutamakan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya," kata Rahimah.
Sebelum ini, mayat Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September lalu.
Morais dilaporkan hilang pada 4 September, dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini, untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Manakala pada April 2013, Shaharuddin ditembak pada jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki yang menunggang motosikal ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa, Putrajaya.
#Anthony Kevin Morais #Anugerah Khas Integriti 2015 #Datuk Shaharuddin Ibrahim #Institut Integriti Malaysia #Paul Low Seng Kuan
;