Kevin Morais: Lapan suspek didakwa esok
Bernama
September 27, 2015 18:23 MYT
September 27, 2015 18:23 MYT
Lapan suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan Anthony Kevin Morais akan didakwa masing-masing di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan Mahkamah Majistret Jalan Duta esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata seorang daripada suspek dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian dan Bicara di Jabatan Peguam Negara itu akan didakwa di Petaling Jaya manakala selebihnya di Jalan Duta.
Mayat Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini 16 Sept lepas.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.
Pihak Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur sehingga kini belum dapat mengenal pasti punca kematian mangsa.