Keupayaan operasi kapal usang dibanggakan, namun TLDM perlu aset baharu lebih canggih

Aida Aziz
Jun 11, 2023 14:19 MYT
Armada Barat Lumut berkata, pengoperasian kapal yang semakin usang menjadi satu cabaran besar sepanjang eksesais berlangsung. - Gambar/ TLDM
LUMUT: Keupayaan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah berusia mengekalkan tempo pengoperasian adalah pencapaian harus dibanggakan, namun pasukan itu tetap memerlukan aset baharu yang lebih canggih.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, dalam satu kenyataan berkata, pengoperasian kapal yang semakin usang menjadi satu cabaran besar sepanjang eksesais berlangsung.
"Pengurusan kapal-kapal yang semakin using itu memerlukan sumber yang besar untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan yang semakin meningkat selain kos selenggaraan yang tinggi.
"Dengan landskap keselamatan serantau yang tidak menentu, cabaran dan tanggungjawab yang semakin besar ini hanya boleh dihadapi dengan kehadiran aset-aset baharu yang canggih dan terkini," jelasnya.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Operational Sea Training Exercise (OSTEX) West Siri 2 Tahun 2023 yang dilaksanakan pada 29 Mei hingga 7 Jun.
Menurut kenyataan itu, OSTEX West 2/23 dimulakan dengan fasa pelabuhan pada 29 dan 30 Mei di Markas Wilayah Laut 3, Pulau Langkawi.
Katanya, ia merangkumi taklimat eksesais, majlis perasmian, Piala OSTEX West dan mesyuarat penyelarasan operasi kapal yang mengambil bahagian.
"Manakala, Fasa Laut dilaksanakan di perairan Selat Melaka melibatkan sembilan aset permukaan iaitu KD Mahawangsa, KD Lekiu, KD Terengganu.
"KD Sri Indera Sakti, KD Jebat, KD Laksamana Hang Nadim, KD Mahamiru, KD Lekir dan KTD Penyu serta sebuah kapal selam, KD Tunku Abdul Rahman.
"Selain itu, ia turut menampilkan penglibatan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139, Super Lynx dan Fennec, pesawat pejuang F/A-18 dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Fast Combat Boat TLDM sebagai aset sokongan," katanya.
Dalam pada itu katanya lagi, pelbagai siri latihan dilaksanakan dengan menumpukan terhadap peningkatan kompetensi dari aspek people, platform, process (3P) dan menilai keupayaan Armada Barat dalam melaksanakan peperangan maritim.
Jelasnya, keupayaan peperangan empat dimensi TLDM telah diuji melalui pelaksanaan Air Defence Exercise (ADEX), Surface Target Firing Exercise (SUFX), Surface Towed Target Firing Exercise (SUTFX), Anti-Air Rapid Open Fire Exercise (AAROFX).
Combine Anti-Submarine Exercise (CASEX), Deck Landing Training (DLT), Winching Exercise (WINCHEX), Light Jackstay & Heaving Line Transfer, Boarding Exercise (BOARDEX), Landing Exercise (LANDEX), Electronic Warfare Exercise (EWX) dan Photo Exercise (PHOTEX).
"Semasa fasa penutup di Lumut, pelaksanaan dan inisiatif yang mendorong kepada peningkatan kesiagaan Armada Barat dapat dirumuskan melalui penemuan serta penilaian sepanjang eksesais berlangsung semasa Post Exercise Debrief (PXD).
"TLDM sentiasa komited dalam peningkatan kesiagaan dan kompetensi warganya dengan mempergiat latihan sebegini yang turut menjadi serampang dua mata sebagai aktiviti “show of presence” aset maritim di perairan Selat Melaka," katanya.
#aset TLDM #kapal usang #aset baharu #OSTEX West
;