Keunikan asimilasi budaya anak Pahang di Pelangai
Bernama
September 27, 2023 17:44 MYT
September 27, 2023 17:44 MYT
BENTONG: Mungkin sedikit janggal melihatkan anak jati Pahang yang lazimnya berbicara dengan loghat seperti "koi" atau "kawan" yang bermaksud "saya" dan "aok" (awak), lebih selesa menuturkan "eden" dan "ekau".
Malah, penduduk di beberapa kawasan kampung tradisi Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini, bukan sahaja lebih selesa bercakap dalam dialek "nogori", tetapi juga cukup menggemari masak lemak cili api, hidangan yang sinonim dengan masyarakat Negeri Sembilan.
Hal ini kerana kedudukan seperti Kampung Manchis, Kampung Hayat, Kampung Shafie, Kampung Baris, Kampung Bukit Gajah dan Kampung Jawi-Jawi yang hanya terletak bersebelahan dengan bahagian Simpang Durian di Negeri Sembilan menjadi faktor kepada asimilasi penduduk setempat dengan budaya di negeri jiran itu.
"Kita dipisahkan dengan batu sempadan sahaja, banyak kampung tradisi di Pelangai ini lebih kurang 10 kilometer sahaja jaraknya dari Negeri Sembilan, jadi kebanyakannya lebih terdedah dengan budaya, gaya hidup dan dialek sana," kata anak jati Kampung Shafie, Sufian Mokhtar.
Sufian, 36, yang ditemui Bernama berkata sudah menjadi kelaziman sekiranya ada majlis keramaian, kenduri-kendara atau musim perayaan, ramai orang luar yang datang ke Pelangai akan keliru sama ada berada di Pahang atau Negeri Sembilan.
"Macam mana tak keliru, ikut peta di Pahang tapi tengok orang sini cakap loghat Negeri Sembilan cukup pekat, lauk-pauk pun pedas-pedas, masak lemak cili api senang dapat di sini.
"Cuma tinggal lagi hal ehwal dan perihal adat perpatih itu tidaklah kita amalkan di sini, macam saya sendiri, cakap pun memang dialek Negeri Sembilan, bila saya ke negeri lain, pasti orang ingat saya anak Negeri Sembilan padahal kad pengenalan saya 06 (Pahang)," katanya.
Pesara kerajaan Malik Yob, 60, berkata perkara berkenaan dipercayai berlaku kerana dahulu ramai orang Negeri Sembilan berhijrah ke penempatan kampung Melayu di sini.
"Bila mereka sudah berpindah ke sini, budaya dan loghat itu pun dibawa bersama seterusnya berkembang daripada anak-anak dan cucu-cicit yang lahir dan membesar di Pelangai.
"Inilah keistimewaan Pelangai, ada orang Pahang cakap betul-betul sama seperti orang Negeri Sembilan, memang tiada beza loghatnya, macam sekarang, bila ramai orang bertumpu di Pelangai kerana PRK (Pilihan Raya Kecil) ketika ini, mereka kelihatan teruja dan kagum dengan keunikan ini," katanya.
Kawasan DUN Pelangai menjadi tumpuan ramai berikutan PRK Pelangai diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun daripada Barisan Nasional (BN), terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
PRK pada 7 Okt ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan seorang calon Bebas yang menggunakan logo kereta, Haslihelmy DM Zulhasli.
Sementara itu, Penghulu Mukim Pelangai Mohamad Firdaus Mat Radzuan berkata situasi berbeza pula di tiga gugusan Felda di Pelangai iaitu Chemomoi, Sungai Kemahal dan Sungai Kemasul.
Katanya, tiga gugusan itu yang dibuka pada 1971 menempatkan penduduk atau peneroka yang berasal dari Kedah, Selangor, Melaka dan Pahang sendiri.
"Ketika dibuka, Felda Chemomoi menempatkan orang Melaka, Felda Kemasul pula menghimpunkan peneroka dari Kedah, manakala Kemahal campuran orang Pahang dan Selangor.
"Jika di sekitar kampung tradisi Melayu kita ada orang Pahang yang amal budaya Negeri Sembilan, di Felda ini seperti di Kemasul, majoriti penduduknya termasuk anak-anak peneroka yang lahir di sini, masih pekat bertutur dalam loghat Kedah dan apa sahaja yang sinonim dengan negeri jelapang padi tu, akan ada di Kemasul," katanya.
Mengikut statistik daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiga gugusan Felda berkenaan mempunyai 7,983 pengundi yang mewakili 48.5 peratus daripada keseluruhan 16,456 jumlah pengundi di DUN Pelangai.
-- BERNAMA