Ketupat palas serunding daging laris menjelang Aidilfitri

Muhafandi Muhamad
Mei 9, 2021 07:46 MYT
Kata Kak Mah, tempahan meningkat lebih 3,000 biji menjelang Hari Raya Aidilfitri. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Biarpun Hari Raya Aidilfitri bakal disambut secara sederhana dalam tempoh Perintah kawalan pergerakan (PKP), namun pengusaha ketupat palas serunding daging di Gua Musang, Kelantan menerima banyak tempahan juadah Hari Raya.
Azimah Yahudin, 53, yang tinggal di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) berkata, jika sebelum ini dia hanya menghasilkan kira-kira 80 biji ketupat sehari untuk diletakkan di kedai namun kini tempahan meningkat lebih 3,000 biji menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, walaupun terkesan dengan kenaikan kos barang mentah untuk membuat ketupat namun, dia yang yang berpengalaman membuat ketupat sejak lebih 20 tahun lalu, masih mengekalkan harga agar tidak menanggung kerugian.
Katanya ketupat serunding dagingnya mendapat permintaan tinggi.
"Orang makan rasa cukup rasa. Tapi ada kata ketupat Kak Mah kecil, sedikitnya pulutnya. Sebab barang serba naik. Ketupat Kak Mah jual tak naik harga dari tahun lepas lagi," katanya.
Sementara itu, bagi pelanggan tetap seperti Zuraini Abdul Rahman, mereka berpuas hati dengan rasa ketupat serunding daging yang dihasilkan Azimah.
"Ketupat sambal daging ini Kak Ra suka sebab dia guna sambal daging original. Bila kita makan rasa dia lebih menyelerakan berbanding dengan ketupat biasa.
"Kalau ketupat manis tu dia tak ada rasa lemak. Tapi ketupat sambal daging ni lebih enak dimakan kerana keenakan serunding Kelantan itu," jelasnya.
Selain menerima tempahan ketupat serunding daging, Azimah juga mengambil tempahan ketupat kacang dan ketupat lemak.
Harga ketupat manis Azimah ialah 80 sen sebiji dan ketupat serunding daging ialah RM1.30 sebiji.
#ketupat #daun palas #hari raya #Aidilfitri #PKP
;