Ketum mungkin jadi sumber pendapatan sekiranya dapat kebenaran eksport - Mahdzir

Abd Hadi Che Awang
Mac 26, 2022 13:53 MYT
MAHDZIR: Jika eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan. - Bernama
KUALA NERANG: Agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkemungkinan boleh menjadikan daun ketum sebagai salah satu sumber pendapatan sekiranya proses mengeksport daun berkenaan ke negara luar dibenarkan pihak Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan perkara itu perlu bergantung kepada keputusan akhir kerajaan Persekutuan memandangkan ketika ini ia masih berada di peringkat perbincangan membabitkan beberapa agensi.
"Kerajaan belum memutuskan, tetapi saya ingat satu hari nanti, kerajaan akan putuskan juga (berkaitan kebenaran eksport ketum ini). Kajian-kajian telah dibuat di seluruh dunia, di kebanyakan negara sudah ada kajian tentang bagaimana ketum boleh digunakan dalam bidang perubatan.
"Tetapi (perincian itu) biarlah itu diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, cuma saya fikir bahawa bila sampai masanya nanti, kita tengok bagaimana keputusan kerajaan yang positif kepada ketum (dan mungkin dibenarkan untuk eksport).
"Kalau (ketum) sudah 'legal', sudah ada (cara jana) pendapatan, mengapa tidak? Kalau jual sekilo (boleh dapat) berapa puluh ringgit, dan saya fikir tidak jadi kesalahan," ujar Mahdzir.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis RISDA Prihatin Pekebun Makmur Tahun 2022 di Dewan Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah, Kuala Nerang, pada Sabtu.
Pada 16 Mac lalu, Kerajaan negeri Kedah berharap agar kerajaan Persekutuan membenarkan negeri itu menjadi pengeksport daun ketum yang sah ke negara Thailand terutama bagi tujuan perubatan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebenaran itu akan memberi banyak manfaat kepada banyak pihak terutama kerajaan melalui kutipan cukai hasil daripada aktiviti mengeksport daun ketum.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand sepertimana yang dicadangkan oleh Sanusi.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.
#ketum #Mahdzir Khalid #pekebun #pendapatan
;