Ketukan sahur hidupkan Ramadan di Kampung Bukit Piatu
Shuhada Abdul Kadir
April 11, 2022 16:00 MYT
April 11, 2022 16:00 MYT
BUKIT PIATU, MELAKA: Seperti tidak sempurna Ramadan tanpa mendengar ‘bingitan’ ketukan alatan muzik pada waktu sahur di Kampung Bukit Piatu, di sini.
Tradisi yang dikenali sebagai ‘ketuk-ketuk sahur’ itu masih diteruskan di kampung berkenaan sejak lebih 75 tahun yang lalu.
Meskipun tidak diketahui secara tepat sejarah awal penubuhan aktiviti yang menggamatkan suasana sahur di kampung itu, namun, ia masih diteruskan dengan penglibatan semua penduduk, tanpa mengira peringkat umur.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Piatu, Ramli Awang, aktiviti itu kembali meriah memandangkan acara berkenaan sememangnya dinanti oleh penduduk kampung.
Menariknya, jika sebelum ini aktiviti tersebut dipelopori oleh kumpulan individu yang lebih berusia, namun kini senario itu berbeza apabila jumlah penglibatan penduduk semakin ramai, tanpa mengira peringkat umur.
Bahkan, pada tahun ini, pelbagai alatan muzik tradisional digunakan seperti serunai, gendang ibu dan anak, gong, tamborin dan kompang berbanding dengan zaman dahulu yang hanya menggunakan barangan terpakai seperti baldi, tin dan juga pelbagai jenis tong.
Selain alunan lagu malar segar seperti Madu Tiga dan Ali Baba nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, kumpulan itu juga mengalunkan lagu-lagu raya dan muzik terkini.
“Program ketuk-ketuk sahur di kampung ini memang biasa diadakan setiap tahun untuk membantu mengejutkan penduduk setempat bangun bersahur.
“Alhamdulillah tahun ini amat meriah dengan kesanggupan anak muda kampung ini bangun awal pagi jayakan program ini yang mana biasanya dijalankan pada pukul 3 hingga 5 pagi.
“Kumpulan ini akan masuk ke setiap lorong rumah dan ada alatan muzik digunakan seperti gendang ibu dan dan anak, serunai, gong dan tamborin berbanding zaman dahulu ketuk-ketuk sahur ini hanya menggunakan tin dan baldi,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang penduduk, Normah Senin, 66, berkata, meskipun acara seumpama itu sudah diadakan sejak dia kecil lagi, namun, penganjuran kali ini membawa erti berbeza.
Katanya, dia tersentuh dengan penglibatan golongan muda yang ramai pada kali ini berbanding tahun-tahun sudah lebih-lebih lagi apabila mengenangkan dua tahun lalu acara itu tidak dapat diadakan kerana tempoh pandemik COVID-19.
Jelas anak jati Kampung Bukit Piatu itu, penganjuran itu nyata mengimbau zaman kanak-kanaknya.
“Rasa bersyukur sangat pada anak-anak kampung yang sambung tradisi ini dan seumur makcik hidup, tahun ini lain rasanya apabila dengar ketukan sahur ini yang jelas mengimbau balik sejarah lama.
“Tradisi ini susah nak jumpa dah, jadi memang teruja betul dan kalau boleh biarlah setiap tahun sambutan ini diadakan,” katanya dalam nada terharu.
Bagi peniaga, Norlila Kassim,46, pula, tradisi ini bukan sahaja memudahkan penduduk kampung bangun bersahur, sebaliknya turut mengeratkan lagi hubungan penduduk kampung dengan acara tahunan seperti ini.
Malah katanya, anak-anak muda kampung juga mempunyai aktiviti lebih berfaedah untuk dilakukan pada bulan Ramadan ini.
“Memang rasa seronok nak berpuasa, kalau boleh setahun pun tak apa kerana tradisi ini lebih mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk kampung.
“Sudah lama tak dengar ketukan ini dan dapat kumpul bersama-sama, bukan sahaja mudah orang kampung nak bangun sahur, tetapi anak muda juga ada aktiviti yang berfaedah,” sambungnya lagi.