Ketuhar kilang meletup, warga Nepal maut
Sinar Harian
Oktober 6, 2018 13:13 MYT
Oktober 6, 2018 13:13 MYT
Seorang pekerja warga Nepal maut apabila ketuhar di sebuah kilang di Taman Sungai Kapar, di sini meletup petang, semalam.
Dalam kejadian berlaku pada jam 3.29 petang itu, tiga lagi pekerja warga Nepal turut mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan dan terus ke lokasi di Jalan Wawasan 3/KU7.
Katanya, lima anggota dari Balai Bomba Sungai Pinang ke lokasi dengan sebuah jentera.
"Laporan awal mendapati letupan ketuhar di premis industri menyebabkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut.
"Tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya.
Beliau berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.