Ketua Wanita UMNO Setiawangsa, Seriwani Sabtu meninggal dunia
Sinar Harian
Januari 13, 2025 13:20 MYT
Januari 13, 2025 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa,Seriwani Sabtu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Berita sedih itu dikongsikan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di platform media sosialnya.
Menerusi perkongsian itu, Noraini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menurutnya, pemergian Seriwani merupakan satu kehilangan besar dalam parti yang telah aktif sejak penubuhan Puteri UMNO.
"Hari yang amat mendukacitakan buat seluruh kepimpinan Wanita UMNO Malaysia di atas kehilangan seorang sahabat yang telah banyak berjasa kepada parti yang saya kenali sejak di awal penubuhan Puteri UMNO.
"Bagi pihak kepimpinan Wanita UMNO Malaysia, kami mendoakan agar roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh dan dicucuri rahmat ke atasNya," katanya di Facebooknya hari ini. - Sinar Harian