Ketua Trafik Kedah meninggal dunia

Adie Sufian Zulkefli
November 5, 2021 11:37 MYT
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim meninggal dunia pada pukul 8.55 pagi ini di Hospital Pantai, Pulau Pinang. - Gambar ihsan PDRM
ALOR SETAR: Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim meninggal dunia pada pukul 8.55 pagi ini di Hospital Pantai, Pulau Pinang.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mendiang Seong Lim, pada Khamis menjalani pembedahan jantung semalam sebelum menghembuskan nafas terakhir hari ini.
Pemergian Seong Lim disifatkan Kamarul Zaman sebagai kehilangan yang besar kepada seluruh warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah khususnya.
“Saya serta seluruh warga PDRM Kontinjen Kedah menzahirkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga mediang.
“Sesungguhnya, mendiang merupakan satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga PDRM Kontinjen Kedah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mendiang memulakan tugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Kedah sejak 2018 sehingga ke akhir hayatnya.
Jenazah mediang Seong Lim akan dibawa ke Taiping, Perak untuk disemadikan.
#Ketua Trafik Kedah #meninggal dunia #Superintendan Chuah Seong Lim #pembedahan jantung
;