Ketua sindiket, suami isteri ditahan edar ganja
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 1, 2022 17:39 MYT
Julai 1, 2022 17:39 MYT
KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini dengan menahan ketua sindiket termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di Sungai Dua, Butterworth dan Perai.
Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Rabu lepas, sebanyak 13.5 kilogram dadah ganja bernilai RM33,813 turut dirampas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pasangan suami isteri berusia 35 dan 44 tahun ditahan bersama dadah seberat 8.6kilogram dalam serbuan pertama pada pukul 10.30 pagi di sebuah rumah yang disewa mereka di Sungai Dua.
Manakala suspek yang dipercayai ketua sindiket berusia 44 tahun pula ditahan dalam serbuan kedua di sebuah bengkel kereta di Perai dan polis turut merampas lima bungkusan dadah jenis ganja seberat 4.85kg bernilai RM12,133.
Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini, Mohd Radzi berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif pada awal tahun ini.
Selain dadah, polis turut menyita barang kemas dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM15,000.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki yang dipercayai ketua sindiket positif dadah manakala suami isteri berkenaan negatif.
Suami isteri yang ditahan itu kini direman selama enam hari bermula semalam hingga 5 Julai ini manakala ketua sindiket direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 6 Julai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.