Ketua setiausaha perlu lapor peratusan kehadiran kepada JPA secara mingguan

Bernama
Mei 24, 2021 04:08 MYT
Menerusi kenyataan pada Isnin, JPA memaklumkan bahawa langkah tersebut bertujuan memastikan keberadaan warga kerja di pejabat adalah pada tahap 20 peratus. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Setiap ketua setiausaha dikehendaki melapor peratusan kehadiran pegawai kementerian dan jabatan di bawahnya secara mingguan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada setiap hari Jumaat sebelum 12 tengah hari mulai hari ini hingga 7 Jun ini.
Menerusi kenyataan pada Isnin, JPA memaklumkan bahawa langkah tersebut bertujuan memastikan keberadaan warga kerja di pejabat adalah pada tahap 20 peratus.
"Kehadiran maksimum 20 peratus di pejabat hanya dibenarkan untuk proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti urusan pembayaran dan melibatkan dokumen rahsia atau Rahsia Besar seperti Memorandum Jemaah Menteri," menurut JPA.
JPA berkata bilangan 20 peratus tersebut tidak termasuk anggota barisan hadapan dan warga kerja yang diarah penugasan semula di agensi-agensi tertentu.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali baru-baru ini mengumumkan bahawa pengoperasian pejabat kerajaan akan dilaksanakan secara hibrid melalui keberadaan di pejabat dan arahan bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
BACA: Mulai 25 Mei, 750,000 penjawat awam, 40 peratus kakitangan swasta bekerja dari rumah
Ia termasuk menggunakan pendekatan kehadiran ke pejabat pada tahap 20 peratus keseluruhan yang tidak termasuk perkhidmatan petugas barisan hadapan dan 80 peratus secara BDR dengan penggiliran.
JPA berkata bagi warga kerja terbabit, mereka dimestikan memakai pelitup muka setiap masa khususnya jika terdapat individu lain di dalam pejabat yang sama atau di kawasan awam seperti di dalam lif, lobi serta tempat letak kereta.
Mereka juga digalakkan memakai pelindung muka apabila berinteraksi secara bersemuka, mengimbas kod MySejahtera setiap kali masuk ke pejabat dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan.
Bagi warga kerja yang melaksanakan BDR pula, JPA mengingatkan bahawa mereka dilarang sama sekali menjalankan sebarang urusan peribadi semasa waktu pejabat tanpa kebenaran Ketua Jabatan.
"Mana-mana warga kerja yang didapati tidak mematuhi ketetapan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib," menurut JPA.
Memperincikan perkara itu, JPA memaklumkan bahawa warga kerja yang diarahkan BDR adalah dibenarkan membawa pulang dokumen berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun JPA menegaskan bahawa pegawai terbabit bertanggungjawab menjaga keselamatan serta kerahsiaan dokumen kerajaan selain memastikan semua dokumen kerajaan sama ada dalam bentuk salinan cetak atau salinan elektronik disimpan dengan sempurna.
"Dokumen berkenaan hendaklah diletakkan di tempat yang selamat serta mematuhi kehendak Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Arahan Keselamatan dan apa-apa peraturan, pekeliling, garis panduan atau arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa," menurut JPA.
Menyentuh mengenai aktiviti mesyuarat, JPA menyarankan agar dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta mematuhi Dasar Keselamatan Informasi dan Teknologi Maklumat.
"Sekiranya mesyuarat mustahak diadakan secara bersemuka, ia dihadkan kepada warga kerja dalaman sahaja dengan bilangan tidak melebihi lima orang dan tempoh mesyuarat perbincangan tidak melebihi satu jam," kata JPA.
"Sepanjang tempoh mesyuarat atau perbincangan, semua ahli mesyuarat mesti memakai pelitup muka dan pelindung muka," menurut JPA.
Mengenai perkhidmatan kaunter penerimaan dokumen untuk agensi, JPA menggalakkan agar agensi kerajaan membuka kaunter khas penerimaan semua dokumen agensi atau bungkusan di lobi bagi mengurangkan kehadiran orang awam memasuki premis kerajaan.
-- BERNAMA
#Ketua Setiausaha #peratusan kehadiran #JPA #Jabatan Perkhidmatan Awam #COVID-19 #PKP #penjawat awam
;