Ketua sami Buddha Malaysia mohon maaf insiden dalam surau di Kota Tinggi

Irwan Muhammad Zain
Ogos 13, 2013 20:11 MYT
Datuk K Sri Dhammaratana Nayake
Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratana Nayake memohon maaf kepada seluruh umat Islam ekoran tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura yang melakukan aktiviti keagamaan dalam sebuah surau di sebuah resort di Kota Tinggi, Johor.
Beliau menasihatkan penganut Buddha agar menghormati sensitiviti agama lain dalam menunaikan kewajipan beragama.
"Kami memohon maaf kepada saudara Muslim kami dengan tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura yang mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Kota Tinggi.
“Mustahil kita dapat membina bahagia atas kesedihan orang lain.
"Saya menasihatkan penganut fahaman Buddha di Malaysia dan Singapura agar menghormati sensitiviti penganut agama lain dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipan mereka," kata Dhammaratana dalam kenyataan media hari ini.
Kejadian berkenaan dikesan melalui satu video di YouTube, menunjukkan lebih 10 orang sedang menyertai satu upacara yang diketuai seorang individu berpakaian jubah berwarna oren di lokasi berkenaan.
Kumpulan berkenaan ditunjukkan berada dalam keadaan duduk mengadap satu objek yang didirikan dalam di depan, di ruang tengah dalam surau tersebut.
Susulan itu, pemilik sebuah resort di Sedili Besar di Kota Tinggi itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau resort itu digunakan untuk upacara keagamaan penganut bukan Islam.
Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini.
Lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
#Islam #ketua sami buddha #surau
;