Ketua Polis Pahang nasihat ahli politik kempen secara berhemah

Astro Awani
April 10, 2018 18:17 MYT
Rosli berkata pihaknya berharap semua parti politik memberi kerjasama yang baik dan sentiasa mematuhi peraturan. - Gambar fail/BERNAMA
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman menasihatkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini agar berkempen secara berhemah dan mengikut garis panduan undang-undang yang telah ditetapkan.
Ini termasuk memohon permit jika mahu mengadakan sebarang perhimpunan bagi memastikan kempen yang diadakan berjalan dalam suasana aman.
Tambahnya, dengan permohonan permit itu pihaknya akan melihat kesesuaian dari pelbagai sudut -- antaranya lokasi, lalu lintas dan keselamatan orang awam sebelum memberi sebarang kelulusan.
Rosli berkata pihaknya berharap semua parti politik memberi kerjasama yang baik dan sentiasa mematuhi peraturan serta tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan kekacauan sepanjang tempoh tersebut.
"Jadi, kita ingin ingatkan apabila permit-permit itu ingin dipohon, pohon awal… jangan di saat akhir. Paling tidak, seminggu.
“Ini penting untuk memastikan bahawa tempat itu sesuai atau tidak sesuai, ada halangan lalu lintas ke tidak, dan keselamatan awam.
“Kita tidak mahu, tempat sama nanti ada parti parti lain yang berceramah di situ,” katanya pada sidang media Program Lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena peringatan Hari Polis ke-211 hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah HTAA, Dr Norazmi Abdullah, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaludin Kudin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Othman Nanyan.
Sementara itu, Rosli turut berkata pihaknya juga telah mengenal pasti kumpulan tertentu dan akan memantau pergerakan mereka bagi mengelak keadaan huru-hara sepanjang tempoh kempen pilihan raya sehingga pada hari membuang undi.
Dalam pada itu, pada Program Lawatan ke HTAA berkenaan, Rosli bersama para pegawainya telah menziarahi pesakit dewasa dan kanak-kanak yang berada di Wad 4A di samping memberikan sumbangan berupa hadiah serta wang untuk menceriakan mereka.
#berhemah #garis panduan #kempen #Ketua Polis Pahang #pilihan raya umum #provokasi #PRU14 #Rosli Ab Rahman
;