Ketua Polis P. Pinang tidak tunduk dengan ugutan

Bernama
Jun 3, 2023 22:30 MYT
Datuk Khaw Kok Chin tidak akan tunduk dengan ugutan atau ancaman oleh mana-mana sindiket haram terhadapnya. - FB PDRM Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, menyifatkan ugutan atau ancaman yang diterimanya daripada sindiket along adalah merupakan perkara lumrah dan sentiasa dihadapi oleh polis dalam melaksanakan tugas membanteras jenayah.
Katanya, beliau tidak akan tunduk dengan ugutan atau ancaman oleh mana-mana sindiket haram terhadapnya.
"Sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, saya dan Polis Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan haram yang menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan. malam ini.
Katanya, pihaknya juga akan terus mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang mengugut atau mengancam dirinya mahupun Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Khaw berkata demikian bagi mengulas berhubung laporan polis yang tular mengenai beliau menerima surat ugutan daripada sekumpulan along yang mengugutnya agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka.
Difahamkan Ketua Polis Pulau Pinang itu menerima surat itu yang dihantar ke pejabatnya, Khamis lalu.
Menerusi surat itu, suspek memberi amaran agar Khaw dan pihak polis memberi kerjasama kepada mereka jika tidak akan menyimbah cat, asid, malah turut mengugut akan menembak.
Suspek turut mengugut mahu membakar kedai atau balai polis dan menerusi surat tersebut turut disertakan enam keping wang kertas yang digunakan untuk sembahyang orang Cina mati bersama sekeping kertas nota.
Ekoran surat ugutan itu, pihak polis membuka kertas siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Khaw memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang pada 12 Mei lalu dengan menggantikan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#ketua polis #pulau pinang #Khaw Kok Chin #jenayah #ugutan
;