Ketua Polis Negara saman Papagomo kes fitnah
Sinar Harian
Disember 28, 2024 12:15 MYT
Disember 28, 2024 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memfailkan notis tuntutan saman terhadap blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Difahamkan, saman itu berkaitan dakwaan memfitnah dan melabelkan Razarudin dengan tuduhan jelik.
Razarudin selaku plaintif menyaman blogger terbabit berhubung kenyataan dimuat naiknya melalui satu video di YouTube dan TikTok selain turut disebarkan melalui saluran media sosial yang lain.
Peguam Raam Kumar, yang mewakili Razarudin memberitahu, notis tuntutan saman tersebut difailkan pada 26 Disember lalu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Tetuan Kbtan, Kumar & Partners.
Katanya, tuntutan saman tersebut dihantar pada Jumaat kepada Papagomo yang dinamakan sebagai defendan.
“Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.
“Plaintif turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu,” katanya.
Selain itu, Raam berkata, plaintif juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan.
“Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa dan media dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif,” katanya.
Sementara itu, Razarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
Pada 19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan beliau serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dimuat naik di YouTube.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Sinar Harian