Ketua Polis Negara sahkan Papagomo ditahan
Bernama
April 30, 2024 16:00 MYT
April 30, 2024 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo ditahan hari ini bagi membantu siasatan berkaitan video didakwa berbaur hasutan dimuat naik oleh pempengaruh itu.
Beliau berkata Wan Muhammad Azri ditahan di rumahnya di Setapak di sini tengah hari tadi.
"Tangkapan dilakukan susulan laporan polis diterima berkaitan video beliau mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berjumpa dengan pemilik KK Mart Datuk Seri Chai Kee Kan di Istana Negara dimuat naik di laman sosialnya yang berunsurkan hasutan," katanya ketika dihubungi.
Razarudin berkata pihaknya kini dalam proses memohon reman terhadap Papagomo bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular satu video di Facebook memaparkan Wan Muhammad Azri ditahan sepasukan anggota polis di kediamannya di sekitar Setapak.
-- BERNAMA