Ketua Polis Negara bimbang penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis, penjawat awam

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 26, 2020 16:35 MYT
Abdul Hamid berkata pihak PDRM akan terus membanteras dan mengenalpasti mana-mana anggota termasuk penjawat awam yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah. - Gambar fail
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melahirkan kebimbangan dengan penularan penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam termasuk anggota polis.


Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan bahawa terdapat 200 anggotanya terbabit dalam aktiviti penagihan manakala lebih 40 yang lain memiliki dadah.


Abdul Hamid berkata pihak PDRM akan terus membanteras dan mengenal pasti mana-mana anggota termasuk penjawat awam yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


“Kebimbangan saya tentang penularan penagihan dadah dalam kalangan anggota dan jabatan kerajaan. Dalam PDRM 200 orang (dilaporkan terbabit), dimana 100 lebih telah ditangkap kerana menagih, 40 lebih kerana memiliki dadah.
“Saya yakin lebih ramai lagi (terlibat), operasi mengesan lebih ramai lagi akan digandakan, saya juga bimbang kegiatan penagihan dadah kian menular dalam jabatan kerajaan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat Ketua JSJN Se-Malaysia di sini, pada Rabu.
Tambahnya, dalam usaha PDRM membanteras sindiket dadah yang semakin meruncing, penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota PDRM sepatutnya tidak berlaku.


Justeru, pihaknya berharap masalah itu dapat dikekang kerana ia mencemar imej pasukan PDRM itu sendiri.
#Abdul Hamid Bador #Dadah #kakitangan kerajaan #Ketua Polis Negara #Malaysia #PDRM #penagihan dadah #penjawat awam #polis #Polis Diraja Malaysia #sindiket
;