Ketua Polis Negara bertemu Dr Mahathir
Bernama
Mac 2, 2020 18:48 MYT
Mac 2, 2020 18:48 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini.
Pertemuan itu berlangsung lebih sejam dan Abdul Hamid yang disapa pemberita yang menunggu di luar yayasan itu ketika meninggalkan YKP, bagaimanapun, tidak menjelaskan tujuan pertemuan tersebut.
Dr Mahathir berada di YKP sejak kira-kira 9.50 pagi, sebelum dilihat keluar pada kira-kira 12.35 tengah hari dan kembali pada kira-kira 2.30 petang.
Turut dilihat berkunjung ke YKP hari ini ialah Naib Presiden PKR Tian Chua dan bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin.
Tian Chua ketika ditanya mengenai kehadirannya di YKP berkata beliau tidak mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.
"Saya di sini untuk berjumpa dengan pegawai (Dr Mahathir) bagi menyelesaikan beberapa dokumen serta sedikit perbincangan. Jadi, tolong jangan buat sebarang andaian," katanya.
Tian Chua berkata, tiada apa yang mencurigakan mengenai kehadirannya di YKP, sambil menambah beliau tidak mahu membebankan Dr Mahathir dengan perkara "berat."
"Tiada apa yang mencurigakan... saya tidak mahu membuang masa beliau," katanya.
Diminta mengulas insiden semalam yang menyaksikan beliau diserang penyokong PKR, Tian Chua berkata: "Itu perkara kecil. Saya tidak mahu membesar-besarkannya. Janganlah buat sebarang spekulasi lagi... cukup-cukuplah dengan kisah lama ini."
Tian Chua dilaporkan diserang segelintir penyokong parti di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam. - BERNAMA
#Abdul Hamid Bador
#bekas perdana menteri
#Ketua Polis Negara
#Mahathir Mohamad
#Yayasan Kepimpinan Perdana