Ketua Polis Kuala Muda ketuai penerima suntikan vaksin

Adie Sufian Zulkefli
Februari 25, 2021 12:37 MYT
Vaksin COVID-19 selamat tiba di Kuala Muda pada jam 11 pagi Rabu dengan iringan keselamatan polis dari Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Astro AWANI
KUALA MUDA: Ketua Polis Daerah Kuala Muda menjadi penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama.
Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini seramai 680 anggota dan pegawai polis di daerah ini sudah mendaftar untuk penerimaan vaksin ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan anggota dan pegawai polis di daerah Kuala Muda adalah seramai 731 orang, tidak termasuk kakitangan awam.
Ini membabitkan jumlah keseluruhan anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan lapan balai polis.
"Daripada 731 ini, 680 orang yang telah berdaftar untuk menerima vaksin meliputi IPD dan lapan balai di dalam daerah Kuala Muda.
"Saya akan mengetuai menerima suntikan vaksin ini seperti mana yang digesa," katanya.
Adzli berkata, vaksin COVID-19 selamat tiba di Kuala Muda pada jam 11 pagi Rabu dengan iringan keselamatan polis dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Beliau berkata, vaksin itu ditempatkan di satu lokasi untuk disimpan di pusat simpanan vaksin untuk lima daerah.
Vaksin terbabit akan diagihkan ke lokasi yang ditetapkan bermula 28 Februari.
Untuk itu beliau telah mengarahkan anggota supaya melakukan mengawal ketat di pusat penyimpanan vaksin itu dimana tiga anggota ditugaskan mengikut syif sehingga selesai agihan.
Anggota IPD Kuala Muda antara 25,155 senarai penerima vaksin yang terdiri daripada petugas kesihatan KKM dan swasta, petugas barisan hadapan PDRM, APM, Kastam, Imigresen, Penjara dan Bomba telah dikenal pasti untuk diberikan suntikan pada tempoh fasa pertama yang bermula pada 28 Februari sehingga penghujung bulan April 2021.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijangkakan akan memberi liputan vaksinasi kepada 80% penduduk dan pekerja bukan warganegara melibatkan 1.76 juta individu di negeri Kedah.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksin #COVID-19 #polis #PDRM #petugas kesihatan #KKM #kuala muda
;