'Ketua penjara keluar wang sendiri beli makanan halal untuk tahanan Muslim'

Bernama
Februari 13, 2019 22:45 MYT
Antara 47 rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja.
Kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey menerima layanan baik daripada pihak penjara.
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berkata, dalam pertemuan singkat bersama pegawai penjara, beliau dimaklumkan ketua mereka sanggup menggunakan wang poket sendiri untuk membeli makanan halal kepada empat tahanan Muslim.
"Saya diberitahu, kebajikan 47 tahanan dijaga dengan baik, makanan disediakan mencukupi dan ketua penjara turut membelanjakan wangnya untuk membeli bekalan makanan halal bagi tahanan Muslim.
"Saya turut diberitahu mengenai beberapa tahanan yang mengalami masalah kulit gatal dan perkara itu sedang ditangani pihak penjara. Pegawai perubatan yang turut serta dalam lawatan ini juga telah membekalkan ubat bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya kepada Bernama News Channel di sini, pada Rabu.
Sng tiba di penjara berkenaan berkenaan bersama wakil media dan dua anggota keluarga kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan setelah berlepas dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap.
BACA: Menteri Luar hubungi TPM Kemboja untuk pembebasan 47 rakyat Malaysia
Menurut Sng, setakat ini, hanya 25 keluarga telah berjumpa dan menghubungi beliau bertanyakan tentang kejadian yang menimpa mangsa lingkungan usia 19 hingga 44 tahun itu.
"Untuk lawatan singkat ini, hanya dua wakil keluarga yang dibawa. Keluarga mangsa yang tidak dapat turut serta bagaimanapun mengamanahkan saya untuk melihat keadaan anak mereka di sini. Segala maklumat mengenai keadaan dan kesihatan mereka akan saya sampaikan sebaik pulang ke Kuching, Sarawak nanti."
Sng berkata pada tahap ini terserah kepada pihak berkuasa kedua-dua negara untuk melakukan sesuatu agar kesemua tahanan dapat dibebaskan dengan kadar segera.
"Sekiranya mereka ditahan lebih lama, saya akan berusaha membawa beberapa lagi keluarga ke penjara untuk bertemu tahanan," katanya.
BACA: Wakil Malaysia berangkat untuk temui 47 yang ditahan di Kemboja
Khamis lepas, Sng dalam satu sidang media mendedahkan 47 rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditahan di sebuah penjara di negara berkenaan.
Sebelum ini, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan kepada Kementerian Luar, mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti judi dalam talian secara haram. -- Bernama
#Banteay Meanchey #judi atas talian #Kemboja #Larry Sng Wei Shien #online gambling #rakyat malaysia di kemboja
;