Ketua Pengarah KPT disiasat hadir majlis hari raya

Fareez Azman
Mei 16, 2021 10:00 MYT
Gambar sambutan hari raya pelajar dan kakitangan UPM bersama Ketua Pengarah KPT tular di media sosial. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Datuk Dr Husaini Omar melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menyertai majlis hari raya bersama pemimpin dan pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) 13 Mei lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud, sehingga kini siasatan masih lagi dijalankan termasuk akan memanggil Ketua Pengarah terbabit.
"Berhubung isu viral salah seorang Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi didakwa melanggar SOP, IPD Serdang memang mengesahkan ada satu laporan dibuat ekoran satu artikel berhubung pelanggaran SOP telah diviralkan.
"Program tersebut diadakan di salah sebuah kolej kediaman pada 13 Mei 2021 melibatkan mahasiswa dan pihak pengurusan pusat pengajian tinggi berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujarnya lagi, siasatan awal mendapati program terbabit dianjurkan sempena penyampaian sumbangan Hari Raya kepada mahasiswa.
"Berdasarkan gambar dimuat naik kelihatan para tetamu dan mahasiswa datang ke program tersebut. Siasatan telah dijalankan dibawah 17 PU (A) 225/2021 melanggar SOP PKP, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan kompaun RM2,000 kepada pengunjung dan RM10,000 kepada penganjur.
"Kertas siasatan kita akan lengkapkan dan akan majukan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera," katanya lagi.
Sebelum ini, tular gambar di media sosial menunjukkan individu itu bersama pelajar dan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM).
#langgar SOP #majlis hari raya #Husaini Omar #PKP #Universiti Putra Malaysia #Mohd Rosdi Daud #Kolej Kediaman ke 13
;